BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, 15 October 2011

KIBLAT HATI....



Ku hamparkan sejadah burukku di celah-celah

waktu yang tidak pernah cukup untuk diburu,
masa yang tidak pernah menoleh ke belakang walau sekilas,
saat yang tidak pernah berhenti walau sedetik.

Ku halakan wajah ke ufuk sana tegak pasrah menyerah akan diri yang penuh noda,
kekhilafan yang aku sedar atau pun tidak,

keterlanjuran yang sengaja atau pun tidak,
keengkaran yang terang atau pun tidak.


Ku hadapkan hatiku kepadaNya,
sesungguh-sungguhnya,
sejujur-jujurnya,
setulus-tulusnya.


Aku berusaha
menjernihkan minda,
melapangkan dada,
membebaskan rasa.


Demi seteguk
kasihNya,
redhaNya,
rahmatNya,
keampunanNya.


Ku ratibkan kalimahNya yang penuh hikmah.
Ku lafazkan pengakuan demi pengakuan,ikrar dan janji,
menghitung dan memperingati diri.


Aku bertafakur menghening sepi mentauhidkanNya.
Hanya kepadaNya.
Hanya keranaNya.


Dialah yang berhak disembah.
Dialah tempat mengadu untung.
Dialah tempat berpaut harap.
Dialah pemberi di kala kebutuhan.
Dialah pelindung di kala kecelakaan.


Untuk seketika, ku hambat pergi segala keributan duniawi
yang menambat aku ke tiang darjat,
yang merantai aku ke lantai harta,
yang memaku aku ke dinding pangkat,
yang mengurung aku di penjara nafsu.


Atas nama tanggungjawab,
atas nama keperluan,
atas nama keinginan,
atas nama impian,
atas nama bebanan,


Yang penuh dengan kepalsuan dan kepura-puraan.
Ku rapatkan dahi ke bumi
agar keinsafan sentiasa di hati
kerana di situlah letaknya diri
bahawa sujudku untuk Ilahi.


Kerana nadi yang berdenyut ini adalah ihsan dariNya.
Kerana nasi yang disuap adalah rezeki dariNya.
Kerana udara yang disedut adalah nikmat dariNya.


Kerana inilah


santapan jiwaku,
tuntutan batinku,
pakaian rohaniku.


Dan, kerana inilah aku


masih teguh kukuh,
sabar menggenggam iman,
tegar mempertahankan takwa.


Nota
Dalam usaha mengunyah, menelan, menghadam dan mencerna doa Ifthitah.








~blog nie saya yang punyer~


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
This is Blog is officially mine!